Jika ada sebarang Hebahan program,hubungi kami..

DI TAYANGKAN SEKARANG!

DI TAYANGKAN SEKARANG!

Jom Borak


Harakah keadilan suarakampus Malaysiakini Metro NST
  • Maharnya sebuah komputer


    *menjawab persoalan shafik dulu

    Setelah saya memutuskan menerima lamaran pemuda itu, saya berbincang dengan Kak Long mengenai persiapan yang harus dibuat. Kak Long ialah isteri kepada Abang Zul, abang sulung saya.

    Antara perkara penting yang harus difikirkan ialah mengenai mas kahwin. Mas kahwin ialah hak wajib bagi bakal isteri yang ingin dinikahi. Hal ini disebut ayat 4 surah al-Nisa’. Mana-mana perempuan yang akan bernikah berhak menentukan mas kahwinnya sendiri.

    Saya bertanya Kak Long, “Kak Long dulu minta apa dari Abang Zul sebagai mas kahwin?”

    Kak Long tidak terus menjawab sebaliknya memberitahu, “Kak Long dulu masa mahu kahwin, Kak Long fikir apakah perkara yang paling Kak Long inginkan waktu itu”.

    Ooo…macam itu ye… Saya mula berfikir-fikir apa yang paling saya inginkan waktu itu. Saya pernah dengar ada wanita yang meminta bakal suami membaca al-Fatihah, al-Quran dan sebagainya selain bentuk benda. Hakikatnya, Allah maha mengetahui fitrah kejadian wanita yang memang sukakan benda-benda sebagai hadiah. Justeru itu, kaum wanita diberi hak menentukan mas kahwin sebagai tanda izin kepada kaum lelaki memiliki wanita tersebut secara sah. Bahkan wanita yang dikahwini berhak menegah suaminya daripada menyentuhnya sekiranya hutang mas kahwin belum dilunasi.

    Mas kahwin juga merupakan simbolik bahawa wanita punya harga diri yang perlu dihormati oleh lelaki. Lelaki dengan kudrat dan tanggungjawab memimpin yang dipikulnya perlu membuktikan kemampuannya untuk mencari nafkah bagi isteri dan anak-anak. Meskipun begitu, maksud harga diri di sini bukanlah bererti wanita harus menilaikan dirinya dengan jumlah wang atau material. Jumlah itu tidak penting. Yang penting, harus ada hadiah bagi wanita yang bakal dinikahi untuk menjinakkan hatinya. Juga sebagai tanda memuliakan wanita yang akan menjadi suri hidupnya.

    Mas Kahwin Anak Perempuan Tok Guru Nik Aziz

    Saya teringat dalam satu kuliah Tok Guru Nik Aziz, beliau berkata, “Sesiapa yang mahukan anak perempuan saya, beri RM1000 jah (sahaja). Tapi kalu demo nok buwi anak perempuan demo, kira RM1000 jugalah (Kalau saudara mahu tawarkan anak perempuan saudara menjadi menantu saya harap dapat letakkan hantaran RM1000 juga)”.

    Saya lupa tahun berapa kuliah Tok Guru di Dewan Zulkifli itu namun ia adalah sekitar tahun 1997 atau 1998.

    Sebagai ulama dan pemimpin, Tok Guru berusaha menjadi tauladan kepada rakyat. Dalam kuliah Jumaatnya hari itu, Tok Guru mengajar bab nikah kahwin dan mahar. Tok Guru menggalakkan rakyatnya memudahkan urusan perkahwinan dengan meletakkan mas kahwin yang rendah. Realiti hantaran dalam masyarakat waktu itu ialah sekitar RM3000 ke atas. Ia juga sebagai menyahut seruan Nabi s.a.w yang pernah berkata,
    “Antara tanda barakah seorang gadis ialah yang cepat kahwinnya, murah maharnya dan cepat melahirkan anak”

    Saya tergiur untuk menjadi salah seorang gadis yang diberkahi itu. Adat keluarga saya tidak akan menyebut berapa mahar yang dikehendaki. Terserah kepada pihak lelaki mahu beri berapa.

    Di Kelantan, biasanya hantaran disebut semasa akad nikah termasuk jumlah mahar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Apabila disebut semasa akad, maka ia tidak menjadi hantaran lagi. Sebaliknya ia menjadi mahar yang wajib untuk isteri. Apabila menjadi mahar, maka ibubapa tidak berhak menyentuh wang tersebut walau satu sen kecuali anaknya mahu menghadiahkan pula kepada kedua ibubapanya.
    Antara faktor jumlah hantaran disebut semasa akad ialah untuk keluar dari perkara yang tidak disyariatkan.

    Hantaran perkahwinan merupakan adat masyarakat dan tiada kena mengena dengan tuntutan syarak. Ibubapa pihak perempuan harus mengadakan kenduri walimah menurut keupayaan masing-masing. Pihak lelaki tidak harus dibebankan dengan perbelanjaan yang tidak wajib itu. Kecualilah pihak lelaki kaya raya dan mahu membantu keluarga bakal isterinya bagi mengadakan kenduri, maka ia dianggap sedekah sahaja.

    Apa yang saya mahu sebagai mahar?

    Selepas Kak Long bercerita pengalamannya, saya mula berfikir, “Apa yang aku mahu saat ini ye…”. Lama juga fikiran saya merayau mencari apa yang saya mahukan.

    Hmm… waktu itu saya sudah punya rancangan untuk menulis. Sampai-sampai saya membeli buku-buku khusus untuk diterjemahkan sebaik pulang ke Malaysia. Iya…apa yang saya perlukan waktu itu ialah sebuah komputer.

    Saya beritahu Kak Long apa yang saya perlukan dan hasratkan saat itu. Saya tahu apa risikonya. Kami sama-sama tergelak ketika saya maklumkan hal tersebut. Cuba bayangkan dulang hantaran mahu di isi dengan 1 set komputer; Monitor yang besar, CPU, papan keyboard, sepasang speaker dan printer. Hi…hi…hi…

    Harga 1 set komputer pada masa itu lebih kurang RM3000- RM4000 jugalah termasuk printer. Saya cuba juga berimaginasi; bagaimanalah agaknya rombongan pihak lelaki akan membawa barangan tersebut. Hi…hi…hi… dan saya membayangkan lagi bagaimana lafaz akad nikah itu nanti akan berbunyi, “Aku terima nikahnya (nama saya) dengan mas kahwinnya satu set komputer tunai”. Hi…hi…hi… pelik bunyinya.

    Bila mahu nisbahkan hasrat dan impian saya waktu itu, itulah jadinya. Tidak mengapalah, ikut yang biasa-biasa sahaja. Lagi pun harganya boleh tahan. Saya mahu jadi gadis yang diberkahi dan hanya inilah peluang yang saya ada bagi merealisasikannya.

    Jika saya buka mata luas-luas dan pasang telinga lebar-lebar pada persekitaran masyarakat waktu itu, hati tergugah juga dengan kos sekitar RM4000-RM5000 dan ke atas. Tidak termasuk cincin dan barangan yang lain. Tambahan pula bakal suami saya berkerja sebagai doktor dan datang dari keluarga yang agak senang. Itu harga di Kelantan. Kalau di luar Kelantan, mahu RM5000- RM7000.

    Hati-iman dan nafsu mula bertempur. Oh…tidak… saya kepingin menjadi gadis yang disebutkan Nabi s.a.w. Peluang ini bukan datang 10 kali atau lebih seumur hidup. Hanya inilah satu-satunya peluang saya. Apa nak jadi, jadilah. Peluang saya memang terbuka luas sebab ibubapa pun jenis yang mencontohi Tok Guru juga.

    Bisikan syaitan datang juga menerjah sekali-sekala, “Nanti orang kata engkau ni murah sangat harganya. Itu sahaja nilai engkau. Orang lain semuanya dapat jumlah yang lebih tinggi”.

    Pedulikan semua itu. Nilai diri manusia ditentukan oleh agamanya. Bukan dengan jumlah wang ringgit. Pandai-pandai iblis ini mahu mengukur nilai diri menurut kacamatanya sendiri. Cukuplah ajaran Allah dan Rasulullah s.a.w sebagai panduan. Saya yakin bahawa Allah tidak akan persiakan hidup saya apabila saya memilih jalan yang diredaiNya meskipun ia kelihatan janggal di mata manusia.

    Sesetengah gadis terpaksa menurut kata ibubapa dan keluarga yang tidak faham. Selepas kahwin, mereka pulangkan sebahagian hantaran yang melampau itu. Apatah lagi jika suami memang tidak mampu mengadakannya. Moga rumahtangga mereka juga diberkati Allah. Sesetengahnya pula, sudah beranak-pinak, hutang dengan bank untuk buat hantaran kahwin belum langsai juga. Kasihan… Ikut sahaja ajaran Islam, INDAH dan memudahkan.

    Berapa Mahar Saya?

    Tempoh saya menerima lamaran dan akad nikah dilangsungkan hanya dua bulan sahaja. Suatu hari, bakal suami menelefon saya, “Mas kahwin mahu berapa?”

    “Terserah pada anta”. Sebenarnya Ma saya yang ajar begitu. Jangan sebut berapa-berapa.

    “Sebutlah…nanti bawa RMxxx …. kan tidak puas hati pula”.

    Jumlah yang bakal suami sebutkan itu sangat sedikit tapi saya lupa berapa. Hati tergugah lagi. Bagaimana hati saya tidak tergugah bila dibandingkan dengan kebiasaan jumlah hantaran waktu itu. Inilah naluri wanita sebenarnya. Hadiah itu tetaplah dia mahu. Cuma naluri itu perlu dipupuk dengan iman dan taqwa, agar ia tidak melampaui batas.

    Saya memang tidak memikirkan berapa yang saya mahu. Tiada apa-apa jumlah dalam kepala saya. Mahu komputer, terasa tidak lojik. Saya teringat semula jumlah yang Tok Guru pernah sebut untuk anak perempuannya, RM1000.

    Saya pun berkata, “Tok Guru minta RM1000 untuk anaknya. RM1000 jugalah”.

    Pemuda itu terdiam sebentar. Saya tidak tahu apa yang difikirkannya. Kemudian dia berkata, “RM1000?… Rasanya Tok Guru pun dah angkat sikit harganya sekarang. Tak mengapalah, ana beri RM2000”. Tanpa banyak bicara, saya setuju sahaja.

    Malam Akad Nikah dan Hari Perkahwinan

    Saya menerima mahar sebanyak RM2000 dan sebentuk cincin selepas selesai majlis akad nikah. Semasa saya menyaksikan dari balik dinding rumah pemuda itu mahu akad nikah, saya teringat kembali hasrat saya ingin memiliki komputer. Saya tidak sedih cuma terasa lucu bila tidak dapat dibayangkan majlis akad nikah itu dipenuhi dengan kotak-kotak berisi barangan komputer.

    Keesokkan harinya semasa majlis walimah, ibu mertua memakaikan gelang emas di pergelangan tangan saya. Itu hadiah dari mertua. Beberapa ratus yang dihadiahkan kaum keluarga suami semasa majlis mengenal saya serahkan kepada Ma untuk menampung belanja kenduri.

    Minggu Bulan Madu- Baiknya Engkau ya Allah!

    Selepas seminggu berkahwin, saya mengikut suami ke daerah tempat dia berkerja. Kira-kira 4 jam perjalanan dari kampung kami. Suatu hari di bulan pertama bulan madu kami, suami saya memberitahu,
    “Sebenarnya abang ingat nak bagi komputer sebagai mas kahwin tapi takkan nak usung komputer pula masa nak akad nikah”.

    La haula wala quwwata illa billahil ‘aliyyul al-‘azhim.

    Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah yang maha tinggi lagi maha agung.

    Rupa-rupanya hasrat saya sama dengan impiannya sendiri. Saya juga beritahu dia hasrat sebenar saya tanpa niat mahu dia menunaikannya. Sekadar bercerita pengalaman saya sendiri. Selepas itu, dia terus bawa saya ke Jalan Imbi untuk memilih komputer. Memang dapat satu set lengkap. Terima kasih bang dan padaMu segala pujian atas segala kurniaanMu ya Allah.

    Ya Allah…Engkaulah yang amat memahami hambaMu ini. Engkau mengetahui apa yang terdetik di hatiku dan memakbulkan impianku meskipun aku tidak pernah meminta kepadaMu… Ya Allah.

    Ya Allah…Berkatilah rumahtangga kami hingga ke akhir hayat kami.

    Ya Allah…lindungilah rumahtangga kami dari kemurkaanMu.

    Amin, ya Rabbal Alamin.

    Hamba yang faqir,
    Ummu Abbas
    1.08am
    28 Rejab 1430H

    http://halaqah.net/v10/index.php?article=10.0

    more
  • SALAH FAHAM TENTANG DOSA
    Takutilah Dosa-Dosa Batin

    Suatu masa dulu ada seorang lelaki yang pernah melakukan dosa besar. Dia merasa berdosa, menyesali dan menangisi dosanya itu setiap hari selama 20 tahun sehingga matanya rabun dan dadanya terasa pedih kerana terlalu banyak menangis.

    Bertaubat seperti ini merupakan satu ibadah yang baik. Takutnya kepada Tuhan itu akan menjadi syafaat bagi dia di dunia dan di akhirat. Ini lebih besar dari solat dan puasa sunat. Sebab tujuan taubatnya tercapai iaitu mendapat rasa hamba. Ini satu anugerah dan Tuhan, sebab bukan mudah untuk mengingati apalagi menyesali dosa-dosa yang pernah kita buat berpuluh tahun yang lalu.

    Pada suatu hari Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah bertanya kepada Nabi SAW: "Wahai Rasulullah, "Apakah ada umatmu yang nanti dapat masuk Syurga tanpa hisab?"

    Jawab baginda, " Ada, iaitu orang yang mengenang dosanya lalu dia menangis."

    Ada juga hamba Allah yang terlalu tajam rasa bertuhannya sehingga setiap kali selesai membuat kebaikan menurut ukuran manusia biasa, dia segera bertaubat kerana dia merasa kebaikan yang dia buat itu tidak sempurna. Dia merasa kebaikan yang dia buat itu tidak ikhlas kerana Allah, terselit kepentingan-kepentingan lain atau dia merasa tidak beradab kepada Tuhan yang sentiasa mengawasinya dalam membuat kebaikan itu. Dia terasa yang dia buat itu bukan suatu kebaikan tetapi suatu kederhakaan kepada Tuhan walaupun secara lahirnya ia suatu kebaikan. Hamba seperti ini sentiasa merasakan dirinya berdosa dan ibadah-ibadahnya tidak sempurna. Tanpa anugerah dari Allah, sangat sukar bagi manusia untuk memiliki sifat kehambaan yang halus seperti ini. Sangat sukar untuk mengesannya, ia memerlukan pandangan mata batin, tidak cukup dengan mata lahir dan akal saja

    Kadang-kadang suatu amalan nampak baik oleh mata dan akal tetapi kalau diperhalusi dengan hati yang tajam ternyata suatu kejahatan. Contohnya, mengerjakan solat. Mata lahir mengatakan baik, akal pun berkata demikian juga. Tapi kalau kita tanya hati, susah untuk memberi jawapan baik atau tidak baik.

    Kalau lepas mengerjakan solat, hati kita rasa senang, rasa selamat dengan solat itu, maka rosaklah ibadah kita itu. Selepas solat dipuji orang, hati pun rasa bangga dan berbunga, habislah semuanya. Itulah yang dimaksudkan ibadah itu menjadi hijab dan dosa. Mana boleh selepas solat kita rasa senang dan tenang. Patutnya kita rasa takut dan cemas sebab solat kita tidak sempurna, ada lalai dan cacat di sepanjang solat. Hati sepatutnya bertanya-tanya, solat aku ini Tuhan terima atau tidak? Tuhan redha atau tidak? Tuhan tidak pandang mata dan akal, tetapi Tuhan pandang hati manusia walaupun ibadah lahir mesti dibuat. Firman Allah Taala:
    Terjemahannya: "Hari Qiamat iaitu hari (ketika manusia meninggalkan dunia ini) di mana harta dan anak tidak berguna lagi kecuali mereka yang menghadap Allah membawa hati yang selamat." (Asy Syuara`: 88 - 89)

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Allah tidak memandang rupa dan harta kamu tetapi Dia memandang hati dan amalan kamu." (Riwayat Muslim)

    Sebenarnya ketika menghadap Tuhan kita sedang menghadap Raja dari segala raja. Sebab itu bagi orang yang betul-betul faham, ketika dia hendak solat dia bimbang dan gelisah takut tidak beradab di hadapan Raja segala raja. Macam raja besar dunia hendak memanggil kita rakyat biasa ke istana, tentu kita ada rasa takut dan cemas, bertanya sana sini tentang tatacara dan sopan-santun menghadap raja. Apa pantang larangnya. Waktu pergi, sebelum menghadap sudah susah hati dan bimbang, waktu sedang menghadap pun susah hati dan bimbang. Selepas menghadap pun susah hati dan bimbang, takut kita sudah tidak beradab dan kurang ajar di hadapan raja. Begitulah rasa hati rakyat jelata yang dipanggil menghadap ke istana raja besar.

    Tuhan adalah Raja dari segala raja. Patutnya kita lebih merasakan susah hati dan bimbang ketika menghadap-Nya dibanding dengan menghadap raja besar manusia tadi. Apakah hati kita merasakan ini? Kalau tidak rasa begitu, benarkah kita telah beribadah kepada Tuhan dan menyembah-Nya? Kalau hatinya betul-betul ikut solat atau dengan kata lain dia sangat menghayati solatnya, maka hatinya akan takut, bimbang dan cemas.

    Bagi orang yang kenal dan faham Tuhan, maka sebelum mengerjakan solat hatinya sudah gelisah. Orang lain tidak nampak hatinya yang gelisah. Setelah solat dia merasa betapa telah tidak beradabnya dia ketika berhadapan dengan Tuhan yang Maha Besar itu. Sebab itu selepas solat sebelum berdoa mengajukan berbagai permintaan kepada Allah, dia bertaubat dahulu, beristighfar dahulu di atas dosa solatnya yang tidak sempurna. Atau setidak-tidaknya dia rasa bimbang dan cemas. Barulah setelah itu dia berterima kasih kepada Allah yang telah memberinya kekuatan untuk menyembah-Nya dan dengan penuh harap dia berdoa kepada Allah.

    Itulah yang dimaksudkan kadang-kadang kita tidak sedar kebaikan yang kita buat berubah menjadi kejahatan. Solat kita yang lalai dan tidak sempurna itu telah membuat kita rasa senang dan selamat, padahal dia membuat kita terhijab dari rahmat Tuhan. Dosa-dosa batin ini sangat halus, susah dikesan dan dirasa. Orang yang secara lahirnya membuat kebaikan tetapi terhijab dari rahmat Tuhan, susah untuk dia bertaubat. Kalau kesalahan yang lahir misalnya minum arak dan berjudi, mudah manusia mengesannya sehingga mereka dapat segera bertaubat. Tetapi kesalahan dan dosa batin sangat susah dikesan apalagi untuk bertaubat.

    Cuba kita tanya orang yang solat. Bagaimana solat saudara tadi? Kalau dia kata, "Alhamdulillah " dengan senang hati dan rasa selamat dengan ibadahnya, tanpa ada rasa berdosa, sebenarnya dia sedang membuat satu dosa batin. Orang dulu walau takut dengan dosa lahir, tetapi mereka lebih takut dengan dosa-dosa batin. Di celah-celah ibadah dan kebaikan ada dosa, ada tidak beradab dengan Tuhan.

    Sebab itu ada Hadis yang menyebutkan bahawa seorang hamba menjadi wali Allah bukan kerana faktor solat dia yang banyak, baca Quran yang banyak, tetapi kerana hatinya sangat halus dengan Tuhan. Orang yang beribadah kerana fadhilat, inginkan Syurga atau kerana takutkan Neraka, selalu tertipu. Hati dia rasa senang dan selamat dengan ibadahnya. Tidak risau, bimbang dan cemas apakah ibadahnya diterima Tuhan atau tidak. Ibadah orang-orang yang mengejar fadhilat ini tidak akan memberi kesan dalam kehidupannya sehari-hari. Tidak ada bezanya antara yang orang yang beribadah dengan yang tidak.

    Soal rasa dan hati ini sangat sulit dan halus. Para Sahabat secara umum memiliki hati yang tajam. Sayidina Umar bin Khattab r.a. memiliki rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang tinggi sehingga begitu bimbang dengan keselamatan dirinya. Kalau dia berjumpa dengan Abu Huzaifah r.a. yang Allah anugerahkan pandangan batinyang tajam, dia akan bertanya, "Wahai Abu Huzaifah, apakah aku ini orang munafik?"

    Pada kesempatan lain ia berkata pada dirinya, "Kalaulah ada penghuni Neraka yang Allah ampunkan dan beri rahmat-Nya kemudian Allah masukkan ke dalam Syurga, aku harap akulah orang terakhir yang Allah keluarkan dari Neraka itu." I

    itulah kebimbangan dan kecemasan orang bertaqwa. Mereka tenang dengan dunia, kemiskinan, kesusahan dan lain-lain tetapi sangat sensitif dan cemas dengan dosa-dosa kepada Tuhan. Hati mereka harap dan takut pada Tuhan.

    Apa yang dimaksud dengan harap dan takut? Tanda berharap adalah dia berbuat dan tidak putus asa. Dia mengharap rahmat Allah. Tanda takut adalah dia sudah berbuat, tetapi takut dan cemas Tuhan tidak terima amalan dan taubatnya. Jadi harap itu ada asasnya. Berharap di atas perbuatan dan amalannya, dia baik sangka dengan Tuhan. Bila sudah berbuat hatinya bimbang juga, sebab yang kita buat amalan yang lahir. Yang batin kita tidak nampak tapi Tuhan tahu. Mungkin ada kesalahan yang kita tidak sedar. Kita rasa sudah tidak ada masalah.

    Di situlah perlu ada takut. Jadi takut di sini ada hubung kait dengan kita merendah diri di hadapan Tuhan. Seolah kita mengaku, Walau aku sudah berbuat tetapi tidak sempurna. Engkau Maha Tahu. Sebab itu aku takut, cemas. Aku sudah berbuat yang lahir, tetapi ada yang batin. Aku tidak tahu yang batin ini.

    Adanya perasaan takut ini menunjukkan ada benda lain dalam hatinya iaitu rendah diri dan tawaduk. Kalau tidak tawaduk, tidak akan lahir rasa takut Tuhan tidak terima. Sebaliknya dia akan rasa yakin seluruh amalannya diterima Tuhan. Dia akan rasa selamat. Rasa ini menafikan rasa kehambaan. Lebih jauh dari itu keyakinan yang terlalu kuat bahawa amalannya diterima Tuhan, selain merupakan dosa batin, ia dapat menggelincirkan tauhid seseorang sebab orang tersebut merasa seolah-olah pandangannya sudah sama dengan pandangan Tuhan.

    Satu jenis tipuan lagi adalah perasaan tenang dan steady dengan dosa yang dibuat baik dosa lahir mahupun dosa batin. Dia rasa tenang itu kerana dia tahu bahawa Allah Maha Pengasih Maha Penyayang. Mengapa ini disebut satu tipuan?

    Memang benar dan tepat bahawa Allah Maha Pengasih dan Penyayang, tetapi perasaan tenang, steady dan tidak susah hati dengan dosa itu yang salah. Seolah-olah tidak perlu sungguh-sungguh bertaubat atas dosa sebab Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Kerana Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, dia yakin Allah akan mengampunkannya walau tidak sungguh-sungguh bertaubat.

    Mengampunkan atau tidak itu hak Allah, tetapi memiliki keyakinan ini yang salah bahkan dapat merosakkan tauhid sebab sudah jelas disebut dalam berbagai ayat Quran dan Hadis bahawa Allah murka dan marah kepada hamba-hamba yang berdosa dan tidak sungguh-sungguh bertaubat atas dosa-dosanya. Perkara yang halus dan seni-seni seperti inilah susah untuk difahami kalau kita tidak ada ilmu tasawuf serta tidak dipimpin dan disuluh oleh seorang guru mursyid.

    Sekian.

    more
  • Peranan Suami Dalam Mendidik Anak

     new


    Perkahwinan adalah perkongsian hidup antara lelaki dan wanita yang digelar suami isteri. Untuk itu dalam segala aspek urusan rumahtangga, suami isteri seharusnya saling bantu membantu antara satu sama lain. Ini termasuklah dalam tugas mengasuh dan mendidik anak-anak.

    Namun begitu, ramai suami menanamkan dalam pemikiran mereka bahawa tugas mendidik dan mengasuh anak terletak di tangan isteri memandangkan tugas mereka yang cukup berat iaitu mencari nafkah untuk keluarga. Sebenarnya ini adalah pendapat songsang masyarakat Melayu khususnya yang beragama Islam kerana peranan seorang ayah sangat penting dalam mendidik anak-anak. Mengapa saya katakan songsang, ya? Jelas, mereka yang berpendapat sebegini tidak perihatin dengan surah Luqman yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan kepada suami yang bergelar ayah. Luqmanul Hakim dikenali sebagai manusia yang sering meninggalkan peringatan serta manfaat menerusi kata-katanya. Beliau merupakan seorang bapa yang sentiasa menasihati anaknya dengan kata-kata berhikmah. Dan kata-kata itu adalah wajar diambil iktibar oleh kita semua.

    Tambahan pula, tuntutan hidup hari ini memaksa isteri turut bekerja bagi membantu suami menampung perbelanjaan keluarga terutama bagi yang mempunyai anak sedang belajar. Justeru pendapat yang mengatakan bahawa tugas mendidik dan mengasuh anak terletak di tangan isteri semata-mata sudah tentu tidak relevan langsung! Tidak adil meletakkan tanggungjawab kepada satu pihak sebaliknya kedua ibu bapa perlu memenuhi amanah mereka.

    Suami harus turut sama ringan tangan membantu dalam hal pengurusan dan mendidik anak-anak. Lagipun peranan ayah dalam mendidik anak cukup penting kerana tanpa kehadirannya, segalanya akan menjadi pincang. Anak-anak, terutamanya yang lelaki akan membesar tanpa tokoh yang boleh dijadikan ikutan. Pendidikan dari aspek kepimpinan dan keteguhan yang seharusnya diperolehi daripada seorang ayah mungkin tidak dapat dipelajari oleh si anak. Perkara ini sudah tentu akan memberi kesan kepada perkembangan mereka. Menjadi bapa terbaik tidak bermakna mereka perlu sentiasa berdamping dengan anak, cukup berada di samping apabila kehadiran mereka diperlukan. Ada masa anak mengharapkan kehadiran bapa sebagai penasihat atau penguat semangat.

    Bapa terbaik mendidik, bergaul mesra dengan anak

    BAPA sebagai ketua dan pemimpin keluarga berdepan tanggungjawab berat memastikan kesejahteraan mereka di bawah kepemimpinannya. Bapa adalah nadi dan tonggak kepada kecemerlangan keluarga. Bapa dibantu oleh ibu mencorak hala tuju rumah tangga dengan mengambil kira keperluan setiap ahli keluarga mengikut kemampuan supaya kehidupan dapat dilayari dengan aman, bahagia serta penuh perasaan kasih sayang.

    Menjadi bapa sempurna bukan mudah tetapi itu tidak menghalang seorang lelaki menimba pengetahuan serta kemahiran terutama dalam membimbing isteri serta anak ke arah kehidupan mendapat keredaan Allah. Bukan semua lelaki dilahirkan untuk menjadi bapa yang baik tetapi mereka mempunyai pilihan termasuk menjadikan kejayaan bapa mereka mendidiknya serta adik-beradik lain sebagai contoh teladan selain Rasulullah SAW yang sepatutnya menjadi idola semua umat Islam.

    Rasulullah SAW adalah contoh ikatan terbaik bagi bapa melaksanakan atau memainkan peranan memimpin keluarga. Baginda SAW secara langsung menyebut tatacara sebagai bapa dan suami terbaik dengan memberikan contoh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

    Rasulullah SAW bukan saja mementingkan didikan agama dan akhlak terhadap anak, juga kemesraan dalam pergaulan. Baginda SAW memberi layanan mesra dan perhatian kepada anak termasuklah yang sudah berkahwin. Ramai bapa mengabaikan aspek kemesraan dalam pergaulan dengan anak lantaran sibuk dengan urusan pekerjaan dan aktiviti luar rumah. Adalah tidak adil bagi bapa beranggapan tugas rumah tangga termasuk mendidik anak, tanggungjawab ibu.

    Hati anak mudah terguris jika di saat mereka mengharapkan kehadiran bapa, perhatian diharapkan tidak diterima. Ada kala anak tidak memerlukan masa yang lama, sekadar ingin bertanya dan mendapatkan pandangan. Jika itu juga sukar dipenuhi, pastinya hati mereka akan rasa kecewa. Waktu terbaik untuk menunjukkan sifat prihatin dan kasih sayang bapa terhadap anak adalah ketika makan bersama dan solat berjemaah. Kesibukan atau kehilangan bapa seharian melakukan tugas akan terganti apabila dapat makan bersama serta bersolat dengan anak.

    Kebanyakan bapa yang baru menimang cahaya mata berasa tidak sabar untuk pulang ke rumah dan bermain dengan bayi pengikat kasih sayang keluarga. Menghairankan, perasaan itu seakan luntur apabila anak bertambah serta meningkat dewasa. Sedangkan, sebuah keluarga adalah satu anugerah atau nikmat terbesar Allah kurniakan kepada manusia. Perasaan cinta dan kasih sayang yang disulami dengan rasa tanggungjawab serta keimanan menjadikan kehidupan berkeluarga sebagai asas kepada segala kehidupan lain.

    Ramai bapa sekarang sibuk bekerja dan bersosial. Satu budaya yang tidak sihat apabila banyak bapa lebih suka menghabiskan masa di luar rumah bersama rakan sehingga larut malam. Amalan minum sambil berborak dan merokok sehingga larut malam menjadi pemandangan biasa di kedai dan restoran. Mereka lebih rela melayan pelawaan rakan untuk beraktiviti luar daripada melayan permintaan anak sendiri. Sebab itu kes bapa terlupa menunaikan janji untuk bersama-sama anak sentiasa berlaku. Anak dimarah jika terlalu mendesak supaya bapa lebih banyak masa bersama mereka. Setiap janji wajib ditunaikan termasuk janji kepada anak. Mungkir janji dengan anak bukan saja mengecewakan mereka bahkan mendidik mereka melakukan amalan sama. Amat buruk kesannya jika anak terdidik dengan sikap negatif seperti tidak menunaikan janji dan tidak mengasihi ahli keluarga.

    Interaksi secara fizikal banyak membantu membentuk hubungan emosi anak dengan bapa dan seluruh ahli keluarga. Anak akan berasa lebih dihargai dan disayangi. Hubungan itu secara langsung mewujudkan perasaan kasih anak kepada bapa yang mencetuskan keinsafan untuk mengutamakan keluarga dalam semua perkara. Dalam banyak hal, anak ingin berkongsi pengalaman dengan bapanya terutama kalangan anak lelaki meningkat remaja. Bapa menjadi individu paling rapat dan menjadi contoh terbaik kepada anak lelaki. Mereka menyimpan impian untuk menjadi bapa seperti bapanya apabila bergelar bapa nanti.

    Betapa bangganya bapa dapat mendidik anak mengikut langkahnya menjadi bapa yang baik dan sudah pastinya paling penting ialah dapat menunjukkan jalan agama yang baik.

    Firman Allah yang bermaksud, “Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (Surah at-Thuur, ayat 21)

    Dalam hal mendidik anak-anak, seorang suami atau bapa perlulah memahami beberapa perkara. Tidak salah bapa-bapa di luar sana mempelajarinya. Kali ini diberikan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh si suami dalam membantu isteri mendidik dan mengasuh anak.

    Tips # 1 - Jangan terlalu memberi harapan yang tinggi

    Terutama sekali jika anak masih kecil. Terlalu banyak harapan diberikan kepada si anak mungkin menyebabkan tekanan kepada mereka. Sebabnya, bila anak tahu bahawa anda terlalu berharap kepadanya, dia akan berusaha memberikan semampunya. Dan jika dia tidak mampu memenuhinya, anak akan berasa sedih dan berasa diri tidak disayangi oleh ayahnya.

    Tips # 2 - Menerima kesalahan

    Orang yang sudah dewasa pun melakukan kesalahan, apatah lagi anak-anak yang masih kecil. Apabila mendapati anak melakukan kesalahan atau menimbulkan masalah di rumah, janganlah terus menyalahkannya. Ramai bapa yang bertindak memarahi malah memukul anak-anak yang berkelakuan sedemikian.

    Sebenarnya tindakan ini tidak akan menjadikan keadaan lebih baik. Bapa akan berasa puas bila dapat memarahi dan menyalahkan anak, tapi dia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Beritahu kesalahan mereka dan ajarkan perkara yang sepatutnya anak lakukan. Yakinlah bahawa mereka akan dapat berubah dari masa ke semasa.

    Tips # 3 - Kenali anak lebih mendalam

    Ketahui dan kenali sebanyak mungkin perkara tentang anak anda. Cari apa mainan dan warna kesukaan mereka, siapa teman terdekatnya, siapa tokoh pahlawan mereka dan selalulah bertanya perkembangan mereka. Dengan memperlihatkan perhatian dan rasa cinta, anak akan merasai diri meraka diberi kasih sayang sepenuhnya. Sikap tidak ambil peduli terhadap perkembangan anak-anak kerana terlalu sibuk dengan kerja akan menyebabkan anak berasa mereka tidak dipedulikan atau merasakan diri mereka tidak penting.

    Tips # 4 - Katakan ‘tidak’

    Arus kemodenan kini mendedahkan anak-anak kepada banyak pengaruh tidak sihat. Bapa haruslah memantau anak-anak supaya tidak terjebak dalam hal yang tidak diingini. Namun mereka tidak boleh sentiasa memerhatikan anak, untuk itu, anak harus diajar tentang disiplin dan pengendalian diri. Anda juga harus berani mengatakan ‘tidak’ kepada aktiviti anak-anak yang dianggap tidak mendatangkan faedah. Mengatakan ‘tidak’ bererti membantu anda memiliki anak yang sihat, bahagia dan dapat bekerjasama.

    Tips # 5 - Memukul kerana tidak belajar

    Ramai bapa yang menunjukkan ketegasan terhadap pendidikan anak-anak dengan cara memukul jika anak tidak belajar atau tidak mendapat pencapaian yang mereka inginkan. Tapi banyak kajian yang telah dilakukan mendapati tamparan atau pukulan akan hanya mengurangkan keyakinan diri anak dan mereka memiliki rasa percaya diri yang rendah. Memukul atau menampar anak hanya akan meningkatkan rasa takut anak terhadap ayahnya. Apakah memang ini yang anda inginkan?

    Tips # 6 - Tindakan lebih keras daripada kata-kata

    Ramai ibubapa yang mengancam atau mengugut anak sendiri bila tidak mendapat kerjasama yang diinginkan. Jika tidak, mereka tidak akan mengendahkan permintaan anda. Perkara ini seharusnya dihentikan segera.

    Tips # 7 - Dengar dengan bersungguh-sungguh

    Walaupun anak masih kecil, tetapi janganlah abaikan apa yang diceritakan atau diperkatakan oleh si anak. Jangan hanya memperdengarkan sepintas lalu tetapi cubalah belajar memahami apa yang mereka katakan. Nilaikan kembali apa yang dikatakannya. Sebab sekiranya anda mahu anak mendengar kata-kata anda, anda juga harus mendengar apa yang mereka katakan.

    Tips # 8 - Layan isteri dengan baik

    Bagaimana anda melayani atau memperlakukan isteri yang menjadi petunjuk penting bagi anak tentang hubungan lelaki dan wanita? Jadi, usahalahlah untuk melayani isteri dengan cara yang paling baik. Elakkan bertengkar di hadapan anak-anak kerana anda mungkin mengajar sesuatu yang negatif kepada anak.

    Tips # 9 - Katakan ‘luar biasa’

    Puji dan katakan betapa luar biasanya anak bagi anda. Hal ini sangat penting utnuk disampaikan terutamanya jika anak memiliki masalah. Tunjukkan kepada anak, apa yang membuatkan dia luar baisa kerana ini akan lebih bermakna buatnya.

    Tips # 10 - Beri tanggungjawap sesuai dengan usia

    Ketika anak masih kecil, apa yang dapat dilakukan mungkin hanya membereskan temapt tidur atau mengemaskan permainannya. Namun, apabila mereka semakin membesar, tambahkan tanggungjawab untuknya. Katakan kepada anak bahawa dalam keluarga setiap anggota punya tanggungjawab masing-masing. Jangan beri hadiah untuk tanggungjawab yang memang harus mereka lakukan.

    Semoga tips-tips yang diberikan ini dapat memberi idea bagaimana bapa boleh menyumbang secara positif dalam mendidik anak-anak agar mereka menjadi generasi yang berakhlak dan cemerlang di dunia dan juga di akhirat, insya Allah.

    more
  • Riak
     newOleh ustaz Ahmad Baei Jaafar

    Kalau seseorang itu tidak mahu melakukan sesuatu kerja kebajikan atau kebaikan kerana takut orang kata dia hendak menunjuk-nunjuk atau riak, maka hakikatnya dia sudah dikira riak. Demikian yang pernah kita jelaskan sebelum ini.

    Tetapi ada juga sesetengah kita tidak bersetuju kerana dalam pengetahuannya, seseorang yang melakukan sesuatu kebajikan kerana hendak tunjuk kepada seseorang itulah yang wajar dikira riak. Memangnya logiknya begitu, tetapi di sini Allah, apa sahaja yang kita lakukan atau bertindak kerana orang lain maka ia adalah termasuk dalam riak.

    Jadi, orang yang terpaksa melakukan kebaikan supaya orang kata dia orang yang baik atau bertindak tidak mahu berbuat kerana takut orang kata, nak tunjuk-tunjuk maka hakikatnya riak. Mereka ini walaupun buat baik bukan kerana Allah, maka sebab itu wajarlah ditolak amalan mereka.

    Selalu berlaku dalam masyarakat kita, seorang pelajar sekolah berlagak baik dan pandai di hadapan orang ramai. Apabila dia bercakap dengan guru, dia bertutur dengan sopan. Apabila masuk waktu solat, dia akan segera ke musolla atau surau. Apabila guru bertanya soalan, dia akan segera menjawab dengan penuh yakin. Padahal di rumah dia amat malas dan tidak bersopan dengan ibu bapa.

    Pelajar tersebut bertindak sebegitu supaya semua rakan-rakannya menyatakan dia baik dan hebat. Dia mahu gurunya memujinya berbanding orang lain. Inilah bentuk riak yang sering terjadi dalam kalangan umat Islam. Jika pelajar itu tidak bertaubat dan menjadikan pengalaman itu sebagai rutin harian, nescaya tiadalah pahala yang akan diperolehnya.

    Keadaan yang sama turut berlaku dalam sesuatu kariah. Seorang anak muda rajin datang ke masjid terutama pada waktu Maghrib, Isyak, dan Subuh. Dia merajinkan diri sendiri kerana hendak menunjukkan kepada AJK masjid bahawa dia orang masjid. Pada masa yang dia mengharapkan perhatian bakal bapa mentuanya.

    Ada juga AJK masjid yang sebelum ini tidak pernah datang masjid, tetapi setelah dia dilantik sebagai AJK masjid dia datang setiap hari untuk menunaikan solat berjemaah. Dalam fikirannya kalau dia tidak datang apa orang kata, nanti orang kata, “nak jadi AJK, tetapi tak datang masjid” malulah aku. Jenis manusia seperti ini memang ada.

    Selain itu ada pula bekas AJK masjid yang sebelum ini selalu datang ke masjid, tetapi setelah tidak terpilih sebagai AJK lagi dia terus datang ke masjid. Dalam hatinya terdetik kata-kata, “kalau aku tidak datang ke masjid nanti orang kata aku merajuk pula.” Jadi, dia datang kerana takut orang kata. Bentuk riak seperti ini sungguh bahaya kepada orang jahil.

    Berdasarkan contoh yang diberi, mungkin ada orang yang akan kata, kalau begitu tak payah buatlah, kalau buat pun riak. Tapi kita kena ingat, kalau tidak mahu membuat perkara baik kerana takut orang kata juga dianggap riak.

    Jelas, contoh ini menunjukkan semua golongan masyarakat tidak terlepas daripada penyakit riak. Mungkin orang awam golongan yang banyak terlibat atas kejahilan mereka. Tetapi ada juga golongan cerdik pandai, yang mereka ini terpaksa melakukannya dalam keadaan sedar kerana hendak menyembunyikan sesuatu.

    Suka dijelaskan di sini, ibadah yang dilakukan oleh ahli riak ini sah di sisi Allah, tetapi tidak dapat pahala langsung berdasarkan sebuah hadis Qudsi yang antara lain bermaksud, “Barang siapa yang lakukan semua itu bukan kerana Aku, pergilah minta pahala kepada mereka yang kerananya kamu melakukan ibadah itu.”

    Selain itu, walaupun ibadah itu sah, belum tentu diterima oleh Allah kalau ibadah itu dilakukan dengan lalai dan hatinya tidak khusyuk kepada Allah. Bayangkan kalau ibadah seperti itu Allah tidak terima malah akan dimasukkan ke neraka wil. Firman Allah seperti yang disebut dalam Surah al-Maun; “Neraka Wil bagi yang melakukan solat, tetapi mereka lalai melakukan solat dan mereka menunjuk-nunjuk,” (Surah al-Maun: 4-6).

    Kalau yang melakukan ibadah boleh dimasukkan ke dalam neraka, apakah pula kedudukan mereka yang tidak mahu melakukan solat atau tidak mengikut peraturan, syarat dan rukunnya, mereka hakikat melakukan dosa derhaka kepada Allah. Jadi, sebagai umat Islam mereka tidak boleh lepas daripada melakukan ibadah, menyembah Allah.

    Oleh sebab pengamal riak ini terdiri daripada golongan orang awam yang jahil, ingin saya mengajak anda sekalian kepada suatu kaedah yang boleh menyelamatkan kedudukan itu. Setidak-tidaknya, mereka masih ada peluang untuk mendapat pahala. Kalau tidak dapat semua, harap-harapnya tidaklah balik kosong.

    Caranya mudah, apabila anda sedar ketika melakukan ibadah itu terdetik niat untuk seseorang atau sedang anda melakukan kerja-kerja kebajikan, datang rasa ingin menunjuk-nunjuk kepada seorang gadis, atau hendak tunjukkan kebaikan diri kepada orang lain, maka segerakan bertaubat. Istighfarlah berulang kali dan betulkan niat itu kepada Allah. Ini sahaja yang boleh memberi semula roh ibadah tersebut. Semoga dengan itu dikembalikan pahala kepada anda.

    Sesungguhnya Allah menilai niat seseorang pada setiap detik ibadahnya dan yang paling penting pada akhirnya. Maknanya kalau seseorang itu melakukan solat dengan ikhlas kepada Allah pada awalnya, maka Allah menilainya dengan satu kebajikan. Mungkin pada pertengahan solat, pahalanya meningkat menjadi 10 kebajikan. Tetapi pada akhirnya dia lalai atau berubah niat menunjuk kepada seseorang, maka semua pahala yang sebelumnya akan terbatal.

    Sebaliknya kalau seseorang itu pada niat awalnya untuk menunjukkan kepada bapa mentuanya, begitu juga pada pertengahan. Tetapi pada akhir solatnya dia tersedar lalu dia betulkan niat, ikhlas hanya kepada Allah, maka dia dapat juga satu kebajikan daripada 27 keseluruhannya. Kedudukannya ketika itu tentu lebih baik daripada orang sebelumnya yang langsung tidak mendapat pahala.

    Sahabat, teman dan rakan sekalian insaflah bahawa segala yang kita lakukan di muka bumi ini dinilai oleh Allah. Kalau kita lakukan kerana kehendak Allah, kita akan dikurniakan ketenangan dan kesenangan di dunia dan akhirat. Tetapi kalau kita lakukan untuk orang lain, orang lain itu tidak akan mampu memberi ketenangan dan kesenangan itu kerana mereka pun belum tentu nasibnya.

    more
  • Keunggulan Cinta Rasulullah
     newOleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN

    SYUKUR kepada Allah kerana dengan limpahan anugerah dan kasih sayang-Nya, kita dapat menikmati nikmat Islam, mengecapi manisnya iman dan menghayati indahnya ihsan. Syukur kepada Allah kerana mengutuskan kepada kita seorang Rasul pembawa risalah kerahmatan sehingga kita dapat mengecapi nikmat-nikmat ini hingga ke hari ini.

    Tetapi kemanisan dan keistimewaan nikmat dan limpahan ini tidak akan dapat benar-benar kita rasai tanpa menghayati Islam melalui pintu dan manhaj 'Hubb' atau cinta dan kasih-sayang.

    Jika dalam kesempatan yang lepas kita mengimbau keagungan cinta Allah yang menjadi asal segala cinta, marilah pula kita membicarakan tentang cinta Rasulullah SAW yang perlu dijadikan bekal dan azimat bagi umat dalam mengharungi kehidupan ini.

    Alangkah bertuahnya umat ini kerana dikurniakan seorang Rasul yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya. Baginda SAW mengungkapkan cintanya dengan ungkapan-ungkapan cinta yang paling murni dan sejati, termasuklah cinta seorang ayah kepada anaknya, seperti sabdanya, "Sesungguhnya diriku bagi kalian bagaikan seorang ayah bagi anaknya." (riwayat al-Darimi).

    Jika para bapa yang lain lebih banyak berjasa memelihara kebajikan material yang tidak kekal sifatnya, Rasulullah adalah bapa paling mithali dan paling layak menerima segala darjah kebesaran dan pujian kerana Baginda juga adalah bapa yang membelai dan menyubur jiwa dan roh umatnya agar berjaya di sini dan di alam abadi.

    Hidup dan matinya sentiasa tamak menghulurkan kasih sayang, inginkan kebaikan dan kesejahteraan untuk anak-anaknya, sentiasa merasa berat melihat kesusahan yang ditanggung oleh umatnya dan sentiasa tamak berusaha memberikan petunjuk kepada mereka agar mereka terselamat daripada lubuk kesesatan dan kerosakan.

    Allah SWT menjelaskan kecintaan dan keprihatinan Baginda ini melalui firman-Nya dalam suray al-Taubah ayat 128. Malah Rasulullah pernah bersabda: Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu. (riwayat Bukhari dan Muslim).

    Apa sahaja yang dilakukan dan difikirkan oleh Baginda semata-mata demi umatnya sehingga Baginda tidak reda seorang pun umatnya terjerumus ke neraka. Diriwayatkan oleh Muslim dalam sahihnya daripada Abdullah ibnu 'Amru ibnu al 'As berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah SAW membaca firman Allah mengenai Nabi Ibrahim as: Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat). (Ibrahim: 36)

    Kemudian Baginda SAW membaca pula perkataan Nabi Isa as iaitu dalam surah al-Maidah ayat 118.

    Setelah itu, Nabi mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis: Ya Allah! Umatku! Umatku! Lalu Allah berfirman kepada Jibril as, "Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada Muhammad - sememangnya Allah lebih Mengetahui - tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis." Maka Jibril as menemui Nabi SAW, lalu bertanya kepada Baginda SAW dan Baginda mengkhabarkan kepada Jibril as sebab tangisannya. Maka Allah berfirman kepada Jibril as, "Pergilah kamu menemui Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya: "Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau reda pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau.

    Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan kesempurnaan sifat kasih Nabi SAW terhadap umatnya, keprihatinan Baginda terhadap kemaslahatan dan keadaan mereka. Ia juga menerangkan tentang kebesaran kedudukan Nabi SAW di sisi Allah dan betapa besarnya kelembutan Allah terhadap hamba-Nya. Pengutusan Jibril as kepada Baginda SAW menzahirkan lagi ketinggian kedudukan Baginda di sisi Allah di tempat yang teratas sehingga Baginda dimuliakan dengan diberikan kepadanya apa yang disukai dan diredainya. (Sohih Muslim bi Syarh Imam al Nawawi jilid 2 H: 438)

    Rasullulah utamakan umatnya

    Sifat kasih yang mendalam menyebabkan Baginda sentiasa mengutamakan umatnya, tidak mahu umatnya menanggung kesusahan dan segala beban umatnya rela ditanggung sendiri oleh Baginda SAW. Rasulullah SAW bersabda: Aku lebih utama bagi orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri. Sesiapa dari kalangan kaum Mukminin yang meninggal dunia meninggalkan hutang maka ke ataskulah tanggungjawab melangsaikan hutangnya. Sesiapa dari kalangan mereka yang meninggalkan harta, maka ia adalah bagi warisnya. (riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Nasai dan Ibnu Majah). Bahkan, Allah telah berfirman mengenainya sebagai mana dalam surah al-Ahzab ayat 6.

    Ulama menyatakan, Nabi SAW adalah lebih utama daripada diri mereka sendiri kerana diri mereka mengajak mereka kepada kerosakan, sedangkan Baginda SAW mengajak mereka kepada keselamatan dan kesejahteraan.

    Nabi SAW juga mengambil berat tentang keadaan umatnya dan sentiasa mendoakan mereka. Diriwayatkan oleh al-Bazzar daripada Aisyah berkata: Tatkala saya melihat Nabi SAW berada dalam keadaan baik, saya berkata, "Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya." Rasulullah SAW pun mendoakan, "Ya Allah! Ampunilah dosa Aisyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang." Mendengarnya, Aisyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu Rasulullah SAW bersabda, "Adakah doa saya menggembirakan kamu?" Aisyah menjawab, "Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu?" Rasulullah SAW bersabda, "Demi Allah! Inilah doa yang saya panjatkan untuk umat saya dalam setiap solat."

    Rasulullah SAW juga menyimpan doa mustajabnya untuk dijadikan sebagai syafaat bagi umatnya pada hari yang paling penting dan sukar iaitu Hari Kiamat. Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda: Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat. (riwayat Muslim dalam kitab al Iman)

    Rasulullah adalah duta Allah SWT bagi menyampaikan mesej kasih sayang, dan Baginda telah pun melaksanakan amanah tersebut dengan sempurna. Kasih sayang itu telah pun diterjemahkan dalam segala perbuatan dan perkataan Baginda.

    Rasulullah SAW menghulurkan kasih sayangnya, tanpa mengira warna kulit dan agama seseorang, hatta benda-benda tidak bernyawa mengecapi nikmat cinta Baginda. Baginda SAW sentiasa menyuruh bersifat belas dan kasih dan membenci kekerasan dan kekasaran.

    Diriwayatkan daripada Aisyah ra bahawa orang-orang Yahudi menemui Nabi SAW, lalu mengucapkan: "Kecelakaan ke atas kamu." Rasululah SAW bersabda: "Dan ke atasmu juga." Lalu Aisyah mencelah: "Semoga kecelakaan ditimpakan ke atas kalian juga, laknat Allah dan juga kemurkaan-Nya ke atas kalian." Rasulullah bersabda: "Perlahan-lahanlah, wahai Aisyah! Berlemah-lembutlah kamu dan janganlah kamu berkasar."Aisyah berkata: "Apakah kamu tidak mendengar apa yang mereka ucapkan?" Rasulullah SAW bersabda: "Apakah kamu tidak mendengar apa yang aku katakan? Aku telah pun membalas ucapan mereka. Maka doaku itu dimustajabkan dan doa mereka tidak diperkenankan." Jelas dalam situasi sebegitupun cinta yang mendalam dalam diri Rasulullah menghalangnya daripada berlebihan dalam membalas kejahatan.

    Maka tepatlah Allah telah menggelarkan Baginda sebagai rahmat kepada seluruh alam dan sebagai yang amat pengasih kepada umatnya. Allah SWT telah berkenan mengurniakan kepada Baginda dua daripada nama-nama-Nya yang agung iaitu Ra'uf (Orang yang bersifat belas) dan Rahim (Orang Yang Penyayang).

    Di dunia, Nabi SAW sentiasa berusaha memberi keringanan kepada umatnya. Maka Baginda SAW bersabda: "Sekiranya tidak berat ke atas umatku, nescaya aku memerintahkan mereka supaya bersugi pada setiap kali hendak melakukan solat." Manakala di akhirat, Rasulullah SAW bersabda: "Umatku! Umatku! Ketika itu, manusia sibuk mendapatkan pertolongan para Nabi sedangkan mereka pula sibuk memikirkan nasib diri mereka. Tetapi Nabi Muhammad sibuk memikirkan umatnya bukan dirinya.

    Justeru, wajiblah bagi kita menyaksikan kemuliaan Baginda dalam setiap nikmat yang diterima oleh seorang Muslim kerana Baginda SAW adalah pembuka jalan-jalan kebaikan untuk kita dan menzahirkan bagi kita jalan-jalan yang mulia.

    Rasulullah menghulur cinta bukan untuk dibalas tetapi untuk diteladani. Meneladani cinta Baginda SAW membawa bahagia hingga ke syurga. Orang yang berakal dan mempunyai hati yang sejahtera, menghargai pemberian dan kasih sayang yang diberikan kepadanya dengan sebaik mungkin dan membalas kasih sayang dengan kasih sayang serta ketaatan yang tidak berbelah bahagi.

    Para sahabat adalah orang yang paling hebat kecintaannya terhadap Baginda SAW, maka mereka adalah orang yang paling sempurna ikutannya terhadap sunah Baginda. Bagi mereka melaksanakan perintah Baginda SAW merupakan suatu kebahagiaan yang tidak mengenal erti jemu, lemah dan malas.

    Cinta Rasulullah SAW juga unggul kerana ia merentasi tempat dan zaman hingga meliputi umatnya yang tidak pernah bersua dengannya mahupun keluarganya atau sahabatnya.

    Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Baginda bersabda yang maksudnya, "Bertuahlah sesiapa yang melihatku dan beriman padaku." Mendengar sabdanya ini mungkin kita umatnya yang datang kemudian agak sedih dan terkilan kerana tidak turut terangkum dalam sabdaannya itu. Tetapi alangkahnya terhibur hati kita apabila mendengar Rasulullah menyambung lagi sabdanya dengan bersemangat, "Bertuahlah, dan bertuahlah, dan bertuahlah, sesiapa yang tidak melihatku dan beriman padaku."

    Begitulah sekelumit paparan keunggulan cinta Rasulullah kepada umatnya yang sebenarnya telah melemahkan segala kalam dan lisan. Insya-Allah, minggu hadapan ruangan ini akan mengimbau bagaimana selayaknya kita membalas cinta Baginda.

    more
  • Mendepani cabaran keluarga Muslim
    SAYANGNYA, realiti dalam masyarakat kita, terlalu banyak permasalahan yang melanda keluarga Muslim hari ini. Kes-kes keganasan rumah tangga sama ada secara fizikal, mental dan seksual kerap kita dengar. Begitu juga dengan kes perceraian sehingga mencecah belasan ribu kes setiap tahun.

    Selain itu, kita turut dipaparkan dengan kisah suami meninggalkan isteri dan anak-anak tanpa khabar berita, apatah lagi melunaskan tanggungjawab menyediakan nafkah. Gejala sosial di kalangan remaja seperti; penagihan dadah, lepak merempit, seks bebas, juga semakin meruncing dari sehari ke sehari. Yang membimbangkan bilangan ini sentiasa dijuarai oleh kelompok Muslim.

    Hakikatnya, semua ini adalah petanda bahawa keluarga Muslim di negara ini sudah tidak lagi berpandukan kepada ajaran agama Islam dalam melayari kehidupan ini.

    Tambah malang, apabila ada segelintir daripada golongan ini langsung tidak mengendahkan garis panduan bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Mereka lebih suka memilih atau mencari jalan sendiri dalam kehidupan yang serba mencabar ini.

    Keseriusan permasalahan di atas ini turut diakui Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dalam ucapan beliau ketika berucap pada Seminar Institusi Keluarga Mendepani Cabaran Semasa pada penghujung Mei lalu di IKIM.

    Terang beliau, dalam satu kajian mendapati 34.7 peratus wanita bekerja menghantar anak kepada saudara mara untuk dijaga apabila mereka keluar bekerja, 19.2 peratus lagi menghantar anak kepada pengasuh yang merupakan jiran, 13 peratus menghantar anak ke pusat asuhan dan 7.9 peratus menggunakan khidmat pembantu rumah.

    "Walau apapun bentuk jagaan yang dipilih, apa yang penting ibu bapa itu tidak mengabaikan tanggungjawab mereka dalam soal mendidik anak-anak. Tidak salah ibu bapa mengharapkan orang lain menjaga anak-anak, khususnya apabila keluar bekerja namun tanggungjawab mendidik anak masih terpikul di bahu ibu bapa.

    "Malah dalam Laporan Keselamatan Kehidupan Dalam Talian Norton 2009 yang dilakukan di kalangan 9000 orang dewasa dan kanak-kanak di 12 negara di seluruh dunia mendapati, golongan dewasa melayari Internet tiga jam sehari atau 89 jam sebulan berbanding kanak-kanak, kira-kira 39 jam sebulan. Ini menjelaskan bahawa ICT pada hari ini merupakan sebahagian daripada kehidupan dua golongan ini dan sudah pastinya, golongan remaja.

    "Selain komputer berInternet, telefon bimbit turut menjadi kegilaan remaja. Ia mendedahkan remaja kepada kegiatan tidak sihat yang mampu merosakkan pemikiran dan masa depan generasi muda ini. Di samping itu, ibu bapa juga perlulah berhati-hati berkaitan aspek pergaulan anak-anak terutamanya dalam memilih rakan sebaya. Ini kerana pengaruh rakan sebaya amatlah kuat," kata beliau yang berharap sebahagian cabaran-cabaran yang mendepani institusi keluarga dapat di atasi menerusi penglibatan para peserta pada forum dua hari itu.

    Pada sesi satu seminar itu, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman dalam kertas kerjanya bertajuk, 'Profil Keluarga di Malaysia dan Kesannya Kepada Keluarga' turut sependapat dengan Ahmad Sarji.

    Oleh itu, tegas beliau kefungsian keluarga dan peranan institusi itu amat penting ke arah pembangunan insan, pembentukan dan perkembangan manusia, pembangunan potensi setiap ahli keluarga dan mencorakkan perkembangan dan kesejahteraan rakyat.

    "Institusi keluarga di Malaysia sedang melalui perubahan dan transisi tanpa disedari. Keupayaan keluarga untuk mengharungi arus permodenan dan pembangunan menjadi antara isu utama yang perlu diberi perhatian.

    "Maka kita perlu lebih berdaya tahan dalam menangani cabaran-cabaran hidup seperti penjagaan anak terutama bagi pasangan dwi-kerjaya, pengurusan kewangan, keibubapaan anak remaja dan tanggungjawab kepada ibu bapa tua," katanya

    Aminah turut menggariskan beberapa kesan kehidupan kekeluargaan yang perlu diambil perhatian di antaranya;

    "Peningkatan dalam kumpulan umur bekerja merupakan bonus demografi kepada negara. Penduduk dikatakan berada pada tahap optimum di mana manfaat dapat diperoleh hasil daripada pelaburan ekonomi yang produktif kerana tanggungan ekonomi adalah rendah dan secara relatifnya terhadap ramai pekerja yang menanggung penduduk yang bukan produktif. Pada kesempatan ini, pelaburan ke atas pembangunan sosial perlu diperhebatkan, terutamanya kepada golongan remaja ke arah pembentukan sahsiah diri yang jitu dan resilien.

    "Kestabilan institusi perkahwinan perlu dititikberatkan seperti menangani senario kahwin lewat dan perceraian. Kesedaran mengenai perkahwinan dan kepentingan hidup berkeluarga perlu diperluas supaya senario pembujangan tidak menjadi satu budaya dalam masyarakat.

    "Pendidikan kemahiran keibubapaan berteraskan tanggungjawab bersama antara suami dan isteri perlu diutamakan agar peranan yang dimainkan lebih signifikan ke arah membina keluarga sejahtera.

    "Intervensi untuk membimbing golongan remaja perlu diperhebatkan kerana golongan ini bakal menjadi pewaris di dalam masyarakat negara ini. Langkah ini juga dilihat mampu membendung gejala sosial yang semakin membarah.

    "Penerapan nilai-nilai murni dibudayakan dalam masyarakat dan nilai ini perlu disemarakkan sebagai tonggak utama mengukuhkan institusi keluarga agar lebih berdaya tahan, sekali gus menyatupadukan masyarakat.

    "Menyedari hakikat bahawa institusi keluarga kini perlu diberi sokongan, perhatian yang khusus dan program-program berbentuk support system perlu dilaksanakan secara istiqamah.

    "Warga emas perlu diberi perhatian yang sewajarnya seperti memperbanyakkan prasarana dan kemudahan komuniti yang mesra warga emas. Ia sekali gus membantu mereka mengisi masa lapang dengan aktiviti yang sihat dan bermanfaat.

    "Agensi-agensi kerajaan serta pihak berkenaan yang terlibat secara langsung dan tidak dalam perancangan dan penggubalan dasar mahupun perancangan pembangunan negara perlu memberi keutamaan kepada pembangunan sosial dan ekonomi.

    more
  • Wanita mesti keras hati
    Wanita mesti keras hati
    Oleh: Latifah Abdul Wahab

    “Saya memang tidak gemar melihat wanita yang terlampau mengada-ngada atau istilah kasarnya ‘gedik’,’getik’, ‘geletis’ dan ‘gelenyar’. Bukan kerana jiwa saya keras tetapi saya sukakan wanita yang kuat pendirian dan cekal berpedoman. Maksudnya wanita yang ingin mendampingi saya mestilah seorang yang tidak marah-marah jika hubungan yang terjalin ‘dingin’ dan tidak dihujani panggilan telefon setiap hari yang sekadar untuk bertanya ‘sudah makan atau belum?” dan “sihat atau tidak” - begitulah pandangan seorang penulis lelaki dalam sebuah majalah wanita.

    Saya tertarik dengan pandangan ini kerana fenomena berkomunikasi secara lunak manja ini semakin menjadi trend wanita hari ini terutama yang berkerjaya khususnya dalam bidang perniagaan. Bukan sahaja sebagai pelaris perniagaan bahkan sebagai pelaris diri. Kebiasaannya, hati lelaki lebih terpikat kepada wanita lemah lembut, mudah ketawa manja dan yang pandai mengoda dengan jelingan penuh bermakna. Jarang kita temui lelaki yang tak sukakan wanita jenis ini seperti yang ditulis oleh penulis di atas.

    Tentu sebahagian besar dari kita pernah dan biasa melihat iklan Hotlink terbaharu yang menampilkan dialoq lucu seorang jurujual wanita mempromosi hotlink plan berganda dengan nada suara lunak menggoda. Tapi yang mengada ngada bukan di jurujual wanita tu tetapi si pembeli lelaki itu. Lucu dialoqnya “tadi kanda sekarang sayang...”, satu dialoq ala pekak badak.

    Walaupun ianya hanya sebuah iklan untuk menarik perhatian penonton dan melariskan produk, tetapi trend mengoda semakin menjadi jadi dalam iklan produk tempatan. Lihatlah iklan syampu ‘sunsilk’. Model wanitanya walaupun bertudung tapi tetap digambarkan meliuk lintuk , menjeling manja dan berbalas senyum dengan si jejaka. Salah satu slot iklan syampu ini memaparkan adegan seorang wanita terserempak dan terjatuh buku kuliah, lalu bertentang mata. Tak tahu apa kaitan dengan rambut yang telah disyampu dan terselindung disebalik tudung.

    Sekali imbas paparan lemah lembut ini sangat serasi dengan budaya melayu atau budaya Malaysia. Kerana umat melayu terkenal dengan lemah lembutnya. Cinta mudah bertaut dengan gaya lemah lembut. Saling bertanya khabar dianggap satu pernyataan bukti saling mengingati dan saling mengambil berat. Bila talian hotlink tidak lagi sibuk dengan SMS dan panggilan sayang, aduhai terasa dunia gelap, sunyi dan sepi. Kemana kah akan di bawa hati nan lara? SMS ON CINTA hantar ke 32728 (Dapat)! Syarikat telekomunikasi juga yang untung.

    Paparan di akhbar akhbar perdana cukup membimbangkan saya. Saban hari ada ada sahaja cerita derita wanita akibat korban cinta tak bermaruah. Setiap hari ada kisah gadis di rogol teman lelaki yang baru dikenali. Ada kisah wanita meratap meminta simpati akibat diceraikan oleh suami yang lari mengikut wanita lain yang lebih menggoda. Dalam majalah wanita, akhbar tabloid mahupun akhbar terkemuka, ruangan soal jawab masalah remaja sering menjadi kolum yang diminati. Masalahnya hampir sama , seperti membaca novel, temanya tetap sama. Tema cinta terlara, kisah hati yang tak bahagia. Kerbanyakkan pengadu dalam kisah cinta terlara ialah wanita. Bukan maknanya lelaki tak pernah jadi korban cinta terlara tetapi mereka kurang menuliskanya. Mungkin untuk untuk menjaga status .Sebagai manusia yang punya agama, saya lebih memikirkan kenapa manusia begitu mendambakan bahagia cinta terlarang? Kenapa saya kata ianya cinta terlarang? Apakah agama menghalang manusia bercinta ? Tidak, bukan itu maksud saya.

    Malah Islam adalah agama kasih sayang. Islam itu sendiri datang dari perkataan salam. Iaitu kesejateraan Kasih sayang tidak terbatas antara manusia berlainan jantina sahaja malah merangkumi kasih saya sejagat, sayang kepada sesama manusia,haiwan dan alam sekeliling. Allah s.w.t menjamin kasih sayang sesama manusia jika manusia mengikuti peraturan yang telah ditetapkannya. Kasih sayang antara lelaki dan wanita yang masih belum terikat dengan akad, wajib dibatasi dengan beberapa hukum yang telah ditetapkan.

    Firrman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud, "Maka seseorang wanita itu janganlah melembutkan suaranya kerana menyebabkan hati orang lelaki yang ada penyakit akan menaruh harapan. Seseorang wanita hendaklah mengucapkan perkataan yang sopan."

    Penyakit syahwat adalah dianggap sebagai zina yang boleh berlaku dalam hati ketika seseorang wanita melembutkan atau merendahkan suaranya secara berlebih-lebihan dan bertujuan goda. Berdasarkan kepada permasalahan ini, seseorang wanita sewajarnya bersikap sederhana bila berbicara dengan lelaki yang bukan suaminya. Sikap sederhana ini bukanlah satu larangan yang bertujuan menyekat naluri cinta tapi sebaliknya adalah larangan untuk menjaga kehormatan wanita dari diperkotak-katikkan oleh lelaki durjana yang sentiasa mencari peluang berfoya-foya dengan wanita wanita penggoda.

    Sebenarnya bukan lelaki durjana sahaja yang mencari-cari peluang, malah hakikatnya syaitan lah yang sentiasa mencari peluang menyesatkan anak adam. Wanita adalah mahluk yang lemah fizikalnya, jika tidak dikuatkan iman wanita dengan mentaati suruhan dan menjauhi larangan Allah s.wt maka tewaslah wanita itu menjadi umpan syaitan. Wanita terpedaya lelaki pula tergoda. Kedua duanya saling terfana dan akhirnya merana.

    Wanita mesti ‘keras hati ‘ untuk mentaati perintah Allah. Hanya dengan cara itu sahaja bahagia yang hakiki akan dapat dirasa. Permainan cinta dengan tanda sayang dan belai kasih yang diucapkan saban hari , saban waktu terluang hanyalah satu ‘interface’ yang melekakan. Bila sudah kecundang dan jadi hamba cinta, masa itulah peranan syaitan menjana nafsu syahwat tak dapat lagi disekat. Masa itu kehormatan diri mudah jadi galang ganti. Siapakah yang akan menghormati wanita yang sudah hilang harga diri? Pepatah melayu kata “kesal dahulu pendapatan kesal kemudian tiada berguna” Fikirkan.

    more

KONGSI BUKU

KONGSI BUKU
Buat bakal-bakal pengantin baru, ketahuilah bingkisan ini ingin memberikan gambaran kepadamu tentang hari-hari awal pernikahan supaya kau lebih bersedia membuat persiapan. Buat pengantin baru, ketahuilah bingkisan ini ingin membuktikan padamu bahawa kebahagiaan itu bermula apabila kau menjaga keberkatan pertunanganmu. Buat para suami,ketahuilah bingkisan ini menyingkap tip untuk memenangi hati isterimu. Buat para isteri, ketahuilah bingkisan ini akan memotivasikan suamimu untuk lebih kreatif dalam membahagiakanmu dan mencuit kebijaksanaanmu untuk membahagiakannya. Buat ibubapa, ketahuilah bingkisan ini berguna untuk menyemarakkan cintamu di alam rumah tangga dan berguna untuk anak-anakmu membina paradigma baru agar tak tertipu mengejar cinta sebelum kahwin.

T-SHIRT Muslimah

T-SHIRT Muslimah

T-SHIRT Muslimin

T-SHIRT Muslimin

Blog Pimpinan Ulama' Tersohor

Blog Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat

Mutiara Hadis

Dakwah Bukan Beban
Sesungguhnya peluang untuk bertugas mengembangkan dakwah itu adalah taufik dari Allah. Allah lah yang memudahkan bagi sesiapa yang didapati baik hatinya. Tugas itu adalah satu penghormatan yang dikurniakan Allah kepada seorang pendakwah, bukannya bebanan.

::Waktu Solat::

Hubungi:

My photo
NURUL ASHiDAH (Pengarah-CEO)
e-mail:simple_shida@yahoo.com.my

contact:
MOHD FARID (Moderator)
e-mail:adjmal_specialist@yahoo.com
contact:-0133057233

FADZLI ZUL IKRAM (Moderator)
e-mail:fzulikram@gmail.com
contact:-0195166900


MUHAMAD AZRUL (Designer)
e-mail:muhamad_azrul_ali@yahoo.com
contact:-0173463276

::PAUTAN IKLAN::


Klik Di Sini Klik Di Sini Klik Di Sini Klik Di Sini Klik Di Sini Advertisement Advertisement Advertisement Advertisement Advertisement

alunan kitabuLlah